Tag Archives: akhirat

Jemputan Menulis wasiat anda dalam kolum “wasiat dari simati untuk yang bakal mati”

7 Aug

Antara dakwah yang berkesan adalah apabila kita membaca wasiat dari oang yang telah mati, bila ia bercakap mengenai kematian. Kerana bacaan kita mengenai kematian itu sangatlah ‘real’ memandangkan yang bercakap itu telah pun berada di alam sana. Inilah yang terdekat kepada mendapat  pesanan dari simati secara real time.  jika tak percaya, cuba anda ziarah blog si mati dan baca kembali penulisan meraka- seram kan?

Namun, selalu perkara yang berlaku adalah, simati ini semasa menulis, tak fikirkan pun yang orang akan baca penulisan mereka setelah mereka mati. maka, kata-kata mereka tu ada yang tak bagus dan tak sesuai disebut oleh orang yang sudah mati, maka ahli waris mereka pun berikhtiarlah untuk memadamkan penulisan mereka demi menjaga maruah mereka.  Maka kesan seram tu pun hilang begitu saja.

Namun kawan-kawan- saya yakin sudah pun berwawasan bahawa tiap kali menulis, tak kisah jika penulisan tersebut dibaca selepas mereka mati- betul tak? ( kalau tak betul, betulkan ya!). Pastikan penulisan kita adalah ‘death compliant.’

Apa yang saya nak cadangkan disini lebih fokus dan berkesan lagi- iaitu  bukan sekadar ‘death compliant’ tetapi terus ‘death in spirit’ . Saya mengajak setiap seorang dari kita menuliskan sekurang-kurangnya satu wasiat yang memang khas ditulis untuk dibacakan setelah anda mati nanti. Koleksi tulisan ini kita himpunkan dalam blog bernama “wasiat simati untuk yang bakal mati’.

Saya sebenarnya dah buat blog tu,- wasiat simati untuk yang bakal mati-  tapi lupa pula di mana leatknya, sya ni bukannya techie savvy sangat. Maka untuk memudahkan hidup, saya buat saja kolum  dalam blog saya yang bernama “projek dunia akhirat” . Kita akan publishkan dululah semua artikel sebab kalau nak tunggu mati baru publish, takut publisher nya pula mati dulu he he (semoga saya mendapat husnul khatimah) Tapi jika da sesiapa yang mati- kita alehkan ke kolum yang khas untuk yang dah mati- ha- baru kow mesej dakwah dari simati.

Maka- kawan-kawan. Mula mula mohon sharekan cadangan ini sebanyak mungkin, kemudian sila mula menulis wasiat anda. Jangn risau kalau tak best, anda sentiasa boleh mengedit dan menghantarkan versi baru, atau artikel pesanan baru, wasiat bukan hanya satu. saya sendiri bercadang , jika diizinkan allah dan jika keutamaan lain dipenuhi, untuk menulis buku bertajuk sama.

Janganlah tulis wasiat faraid harta atau suruh bayar hutang. tulis wasiat supaya orang beriman. dakwah dari alam kubur- semoga menjadi amal jariah, nanti kita dikubur, pahala masuk- passive income, perpetual income- insyallah.

tuan puan boleh menghantarkannya di inbox saya ( FB nadiyah elias) , post di wall saya, atau tempelkan saja dalam komen di bawah cadangan ini dalam blog perancangan/projek dunia akhirat saya ( wordpress). Nanti kita susunkan mengikut giliran kematian.

Islah Diri – Seru Orang Lain

10 Jan

Antara moto atau falsafah hidup yang  selalu disarankan oleh ustazah adalah “Islah diri- seru orang lain”. Ini bererti kita sentiasa meningkatkan diri kita sebagai hamba Allah. Dalam masa yang sama juga, kita perlu mengajak orang lain untuk turut sama mengislahkan diri mereka pula.

Kebanyakan orang tidak mempunyai masalah dengan aspek peningkatan diri. Sama ada berjaya atau tidak, usaha meningkatkan diri boleh memang sentiasa dilakukan. Namun  konsep menyeru orang lain agak menakutkan bagi kebanyakan orang. Ramai orang menganggap bahawa mereka tidak layak untuk menyeru orang lain.

Padahal dalam hadith, Rasulullah telah memberi tugas ini kepada setiap orang tanpa meletakkan syaratnya;

” Sampaikanlah oleh mu dari ku walau sepotong ayat”  dari Anas R.A. hadith Muslim dan Bukhari

Hadith ini menunjukkan bahawa, bukan sahaja setiap dari kita Muslim layak untuk menyebarkan mengenai agama kepada orang lain, malah kita telah pun disuruh oleh Rasulullah SAW untuk berbuat demikian. Tiada alasan, dan tidak boleh bertangguh lagi- setiap dari kita layak, dan stiap dari kita telah pun dilantik oleh Rasulullah SAW untuk menyampaikan ajaran beliau mengikut kemampuan masing-masing.

Bilakah patut kita berbuat demikian?

Jawapannya adalah sekarang. Tidak perlulah kita menunggu tambah lagi ilmu di dada, kerana Rasulullah SAW menyatakan- pengetahuan satu ayat saja sudah melayakkan kita untuk menyampaikannya, dan tiada pula syarat lain yang ditambah.

Antara perkara lain yang boleh memotivasikan kita adalah konsep pahala komisyen.

“Barang siapa yang menunjuk satu jalan ke arah kebaikan, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang melakukan (kebaikan) itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Mudahnya kita mendapat pahala pasif, iaitu setelah kita berikhtiar, pahala terus menalir masuk tanpa pelru ikhtiar tambahan lagi.

Bagi saudara yang telah termotivasi untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan penyebaran ini, tetapi tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, atau malu atau masih kekok menjalankannya,  di senaraikan beberapa cadangan mudah yang boleh dilakukan sebagai langkah permulaan:

1) Menjadi ustadz/ ustazah fotostet: Ini langkah pertama saya dalam berjinak-jinak dalam dunia dakwah.  Walau pun  pada masa tersebut terasa tidak layak untuk bercakap hal-hal agama,  rasanya diri layak untuk mengedarkan salinan helaian peringatan yang difikirkan berguna. Saya telah mencuba membuat salinan kepada doa dan hadith yang berguna bagi diri saya, untuk dikongsikan kepada rakan. Sambutan dari kawan-kawan adalah menggalakkan, maka sehingga hari ini saya masih aktif berkerjaya sebagai ustazah fotostet.

Antara yang perlu diingatkan dalam aktiviti ini adalah hanya menyampaikan  helaian kepada mereka yang berminat sahaja. Jika helaian yang disampaikan mengandungi nama Allah, atau sebahagian dari ayat Quran, kita harus memesan kepada pihak penerima untuk berjanji menjaga helaian tersebut dengan baik. Antara yang saya lakukan dalam bengkel atau kelas agama adalah hanya memberikan helaian tersebut kepada peserta yang sedia membawa fail sahaja. Peserta yang tidak membawa fail akan dipinjamkan sahaja helaian tersebut, dan mereka boleh memintanya minggu seterusnya jika mereka membawa fail untuk menimpan kertas tersebut. Ini boleh mengelakkan kertas  tersepah oleh  penerima yang tidak bertanggungjawab.

Langkah kedua yag boleh diambil adalah dengan menjual helaian tersebut pada harga khidmat. Kutipan dari wang tersebut boleh digunakan untuk membiayai projek seterusnya. Namun bagi individu yang malu berdakwah, mereka juga selalunya akan lebih malu lagi untuk mengutip wang, makan langkah ini mungkin leibh sesuai dilakukan  di bawah nama persatuan atau yayasan.

2) Menjadi ustazah burung kak tua. Langkah ini juga tidak terlalu berat. Kita menyampaikan kepada rakan apa yang kita pelajari dari ceramah agama atau bengkel yang dikta telah hadiri. Saya sendiri banyak menjawab soalan-soalan fiqh yang semakin canggih, dari murid- murid saya – kesemuanya hanya dengan merujuk  “ustadz sekian-sekian kata…., ustazah sekian sekian kata…”   Menghafal dan menyatakan semula kata-kata ustadz dan ustazah lain tidak terlalu berat, dan tidak memerlukan kelayakan dan tauliah.  bagi individu yang tidak mempunyai ingatan yang kuat, anda boleh mencatat isi-isi penting  dan menyimpannya mengikut kategori. Point-point ini boleh digunakan mengikut kesesuaian.

3) Menghafal skrip-skrip tazkirah  favourite.  Latihan ini saya pelajari dari kumpulan “Tabligh”. Dalam latihan mereka semasa “keluar” di masjid-masjid, mereka akan berlatih mengulang-ulang satu satu skrip tazkirah.  Seseorang boleh mengarang tazkirah sendiri atau meniru saja cakap-cakap rakan yang lebih senior. Skrip ini kemudiannya diulang-ulang kepada rakan lain sesama sendiri. Pada sesi lawatan  rumah ke rumah, ketua atau ‘amir’ kepada kumpulan tersebut akan memilih dan menyuruh beberapa orang dari mereka menjalankan skrip tersebut kepada ahli rumah yang dilawati.  Pulang dari “keluar’ tersebut, individu tersebut digalakkan untuk mengulang skrip tazkirah tersebut kepada isteri atau anak-anak. kalau tak salah saya, mereka namakan skrip tazkirah ini, “cakap-cakap akhirat”.

Kita juga boleh mengambil petikan – petikan dari internet (pastikan sumbernya betul) atau memilh hadith -hadith yang menggetarkan hati kita, dan mengulang-ulangnya dengan menceritkan mengenai hadith dan apa yang kita faham dari hadith tersebut kepada rakan baik kita.  pada mulanya, kita akan merasa jangaal, seolah-olah kita ini pura-pura baik, namun setelah diulang beberapa kali, cakap-cakap akhirat ini akan menjadi kebiasaan kit, dan insyallah, jika diteruskan lagi, kemungkinan kita akan kekok pula apabila “cakap dunia” dan tidak “cakap akhirat”.

Ramai orang risau untuk memulakan caka-cakap akhirat, dikhuatiri menyinggung perasaan orang yang dicakapkannya. Kita terfikir bahawa mereka akan terfikir; “Ingat saya ni tak ingat akhirat ke, perlu awak mengingatkan kita?” Sebenarnya, tidak ramai orang akan terfikir sedemikian. Lebih ramai yang akan teruja untuk terus bercakap mengenai akhirat. Namun, untuk menghilangkan kerisauan ini, kita boleh membuat persetujuan denagn beberapa orang rakan baik kita untuk sama-sama mencuba cakap-cakap akhirat. Persetujuan formal begini akan memudahkan beberapa orang memulakan tabit ini berbanding dengan anda sendirian memulakan.

Anda boleh menyatakan kepada rakan anda begini; ” Sahabat, saya ingin mengingatkan diri saya menenai akhirat, makan saya ingin mula berlatih bercakap mengenai akhirat. Ok, tak jika saya berbuat sedemikian dengan sahabat, kerana saya lihat sahabat juga berminat ke arah demikian.”

4)Jika anda telah mampu melakukan semua langkah-langkah di atas, tiba masanya anda menceburkan diri menajak orang kepada kebaikan secara  terus dan tidak berselindung lagi. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan sesi tazkirah atau pengajian, sama ada dirumah sendiri, di pejabat, atau di tempat yang dijanjikan. Di tahap ini, saya memberi panduan teori sahaja kerana saya masih baru di tahap ini.

Antara langkah mudah bagi peringkat ini adalah melihat orang-orang yang sedia ada dibawah tanggungan atau tadbiran anda. Contohnya, jika anda ketua jabatan, anda boleh mengadakan kelas fardhu ain, atau sesi tazkirah di pejabat. Jia anda tiada orang bawahan, anda bolehlah memulaka sesi ini dengan ahli keluarga dahulu. Jika anda belum yakin untuk melakukan pengajaran atau seruan secara terus, anda boleh memulakan dengan mengajurkan dahulu majlis sedemikian, dan menjemput orang lain memberi tazkirah atau pengajaran. Kemudian, anda boleh mengadakan sesi bersama dan seterusnya jika lebih yakin, mengadakan sesi bersendirian.

5) Peringkat seterusnya jika kita meminjam terminolgi penjualan dipanggil “cold calls”; iaitu menawarkan diri kepada orang awam yang belum ada kontrak dengan kita, untuk mengadakan sesi tazkirah atau kelas pengajian pada waktu-waktu tertentu. Peringkat ini dalam dakwah adalah susah, sehinggakan ustadz ustadzah profesional pun tidak semua mampu melakukannya. Kebanyakan ustadz ustadzah selesa hadir ke majlis pengajian ilmu di masjid-masjid, dimana mereka dijemput dengan rasminya dan penganjur memastikan akan ada pendengar yang cukup yang sedia menunjukkan minat kepada apa yang akan mereka percakapkan. Malah ada ustadz yang meletakkkan “harga”  kepada  sesi mereka, iaitu jika pendengar mereka kurang dari bilangan sekian-sekian, maka tidak berbaloi masa mereka dalam sesi tersebut. mereka bukanlah sombong, tetapi merasakan lebih bermanafaat tenaga mereka jika  bercakap kepda pendengar yang lebih ramai.

Bagi saya, ustadz-ustadz sedemikian adalah pengajar, tetapi mereka bukan penyeru. Rasulullah SAW memainkan kedua-dua peranan mengajar dan menyeru kepada manusia, iaitu baginda mengajar dan mendidik sahabat-sahabat yang sedia mendengar dan belajar, dan baginda juga tidak sean berikhtiar meluangkan masa untuk berjumpa kumpulan yang kecil atau orang persendirian dengan tujuan menyeru mereka ke jalan Allah. Jika kita ingin menjadi penyeru atau pendakwah seperti Rasulullah SAW, kita perlu berani membuat “cold calls”; iaitu memulakan inisiatif mengajak orang biasa untuk menuju kepada Allah. Jika mereka menunjukkan minat untuk berbuat sedemikian, barulah kita juga menyambung dengan kerja-kerja mengajar dan mendidik.

Bagi kita yang baru memulakan kerjaya sebagai pendakwah, tak perlu lagi fikirkan langkah-langkah “cold calls”. Mulakan dulu denan menjadi ustazah fotostet, ikhtiar untuk naik pangkat ke ustazah burung kakak tua, seterusnya keapda ustazah pengajur kelas agama, dan insyallah, semoga kita boleh mara kepada ustazah pengajian dan terus naik pangkat menjadi “marketing officer” yang tidak segan silu membuat “cold calls”

Ruang ini menceritakan hanya bahagian Seru orang lain, insyallah kita akan bincangkan tips untuk islah diri dalam ruang lain.

Sediakan Selipar Tandas di Boot Kereta Anda

26 Oct

Perasan tak terdapat semakin banyak masjid yang tidak lagi menyediakan selipar tandas? Mungkin pihak masjid menganggap tandas mereka cukup bersih, atau mungkin pihak masjid sudah kecewa dan tak sanggup lagi menangani kes kecurian selipar tandas ini.

Apa pun, penggunaan selipar atau alas kaki ke tandas adalah termasuk ikhtiar menjaga kebersihan diri – iaitu sesuatu yang dianjurkan oleh Rasulullah secara umum. Selain dari itu, ia juga termasuk dalam anjuran khusus dari Rasulullah (antara anjuran yang lain adalah: baca doa khas keluar dan masuk, menutup kepala dan memakai alas kaki, duduk bertinggung, tidak menghadap atau membelakang qiblat secara tepat. Sila rujuk blog satizah – iaitu ustadz dan ustazah- untuk mendapatkan dalil dalil ini secara terperinci)

Jadi, anda ke tandas masjid dan tiada selipar disediakan dalam tandas tersebut. …..

Saranan saya: Sediakan selipar tandas simpanan di dalam kereta anda. Apabila anda menghadapi situasi sedemikian, keluarkan selipar tersebut untuk digunakan dan anda boleh tinggalkan terus selipar tersebut untuk kegunaan pengunjung lain.

Saranan tambahan. Cuba kekedai dan meninjau selipar murah. Bila anda jumpa yang murah, beli sepuluh atau lebih. Contonhya, saya pernah jumpa selipar dengan harga Rm1.70 – Beli sepuluh baru tujuh belas ringgit. Kalau sangat minat beli saja seratus baru seratus tujuh puluh 🙂
dah boleh bersedekah ke seratus masjid.

Saranan tambahan tambahan: Jika anda rajin, anda boleh tolong buatkan seperti yang biasa dibuatkan oleh masjid, memotong sedikit selipar. Secara adatnya, selipar ‘potong telinga’ ni difahami bahawa selipar waqaf masjid, dan tidak akan ditersalahbawabalikkan oleh sesiapa.( atau kurang sikit peluang ter nya)

Dan seperti biasa, jika anda nak bawa lagi amalan ini menjadi lebih jauh perbatuan, sebarkan ide ini kepada rakan-rakan. Anda juga boleh beri hadiah sepuluh selipar murah kepada rakan untuk dimuatkan ke boot keretanya. Jika anda ingin berbuat sedemikian, pastikan penerima hadiah ini sama wavelength dengan anda- wahdatul fikr– sepemikiran. Jika tidak, mungkin ini menjadi beban pula kepada dia dan menjadi amalan pahala bonus.

Ide untuk Mencari Pahala Bonus: Pengenalan

26 Oct

Kita sentiasa berfikir bagaimana untuk mencari pahala bonus. Jika kita tidak sedemikian, kita kena menjadi sedemikian!

Mungkin kita mendapat sumber pahala utama dari:
amalan ibadat khusus seperti solat,
amalan ibadat sunat seperti zikir dan membaca quran
amalan ibadat harian mengikuti sunnah rasulullah seperti bersugi, berpakaian, dll
amalan khidmat masyarakat seperti bersedekah, dll.

Pahala ini juga boleh ditetapkan supaya ia sentiasa mengalir. Ini dinamakan pahala jariah. Ia seperti di atas, tetapi ditambah dengan faktor mengalir iaitu:

mengajar seseorang melakukan perkara di atas. Selagi dia melakukannya, atau mengajar orang lain melakukannya, kita akan dapat pahala bonus atau pahala komisyen.

Memberi kemudahan kepada orang lain membuat amal, seperti menyediakan telekung, selipar solat, maka kita akan mendapat pahala asas bersedekah dicampurkan lagi dengan pahala bonus apabila individu beramal dengan menggunakan kemudahan yang kita sediakan.

Menyumbangkan wang atau harta yang terus boleh dimanafaatkan kepada orang lain seperti waqaf bangunan, jalan, tanah, harta amanah (harta yang digunakan manafaatnya tanpa habis harta tersebut)

Selain dari mendapat pahala asas, kita juga boleh mendapat pahala bonus yang kecil-kecil. Saya namakan ini pahala menyambil. Iaitu, kita melakukan amalan baik tak kira bagaimana kecil kepada siapa saja. Yang menjadikan faktor adalah pahala ini dapat dilakukan secara menyambil tanpa mengeluarkan modal yang banyak atau memerlukan pengorbanan yang banyak. Mungkin ada orang mengatakan, kalau tanpa mujahadah, nanti pahalanya sikit.

Jangan salah faham. Memang kita perlu menjalankan amalan yang memerlukan pengorbanan untuk mendapatkan ganjaran yang banyak.
(insert hadith kamu tidak akan … selagi kamu tidak menyedekahkan apa yang kamu sayangi…)
Namun ini tidak bermakna Allah tidak melihat amalan-amalan yang kecil. Allah menjanjikan bahawa setiap amalan akan dibalas – meskipun ia sebesar satu zarah (surah Zilzalah) dan apa yang Allah balas nanti tidak akan menjadi kecil apabila kita di akhirat nanti.

Apa pun, yang penting mengenai projek pahala menyambil ini adalah kerana ia tidak memerlukan pengorbanan yang tinggi, ia mudah dipupuk bagi kita yang baru mula memikirkan hidup beramal ini. Disiplin memupuk diri menjalankan amal yang baik akan mendekatkan diri kepada Allah.

Selain daripada itu juga, amalan kecil ini tidak terlalu terdedah kepada cabaran ujub diri. Sedangkan apabila kita beramal yang besar-besar, kita juga harus menangani cabaran menjaga hati dari ujub, riak dan sum’ah. (tapi kalau kita ni ujub juga dengan amalan amalan kecil kita – itu kes teruk tu, dan kita harus berkursus intensif dalam amalan tasawuf membersihkan diri dari sifat mazmumah 🙂

Dalam siri pahala bonus ini saya mengharapkan juga cadangan dan ide kreatif dari rakan-rakan bagaimana lagi kita boleh mendapatkan pahala bonus. Jika ada rakan yang berminat untuk contribute artikel penuh juga dialu-alukan.

Dakwah Bil Hikmah (DBH) – Menjalankan projek amal di tempat anda

20 Oct

Saya sebenarnya ingin membuka website bertajuk dakwah bil hikmah, atau apa yang sekitar lingkungan keluarga saya pendekkan sebagai DBH. Namun memandangkan sasaran pembaca adalah sama- iaitau mereka yang ingin mendekatkan diri kepada Allah, maka saya ekonomikan projek dan akan hanya membuka ruangan DBH sebagai salah satu dalam kategori Projek Dunia Akhirat (PDA).

Saya amat-amat berharap agar saudara, jika terbaca ruangan ini, akan memberitahukannya kepada rakan anda dan membawa mereka ke sini. Bukanlah tujuan saya untuk popular, tetapi sebagai ikhtiar untuk menyampaikan dakwah dalam kapasiti saya sendiri – tentulah kita nak seruan kita sampai kepada seramai orang yang mungkin.

ustazah saya Ustazah Zaharah Abu Bakar, selalu berpesan. Kita tak boleh mengharap untuk masuk syurga seorang kerana urusannya tidak dibuat begitu. Jika kita ingin masuk ke syurga, tugas kita untuk mengajak serami orang yang boleh untuk bersama masuk syurga.

Ada pelbagai jalan berhikmah untuk berdakwah, dan antara yang paling berhikmah adalah dengan membuat kerja-kerja amal, dan mengajak orang lain bersama membuat aktiviti kerja-kerja amal. Ia lebih mudah dari dakwah langsung seperti mengajak orang menuntut ilmu dan tingkatkan amal ibadat.

Aktiviti kerja kerja amal ini mempunyai dua sasaran dakwah utama; iaitau 1) penerima khidmat masyarakat 2) penyumbang khidmat masyarakat. hari ini saya ingin tambahkan sasaran kerja-kerja DBH saya kepada golongan ketiga iaitu saudara 3) aktivis khidmat masyarakat.

Bagi golongan pertama, apabila ada saudara sesam islam membntu mereka walaupun sedikit, akan menceriakan diri mereka dan membuatkan mereka lembut hati terhadap ugama. Bagi golongan kedua, mereka ini memang berminat untuk melakukan amal, tetapi hanya akan melakukan apa yang mudah, yang dah ada depan mata, dan yang tidak memerlukan pengoranan yang terlalu berat buat mereka.

maka, bagaimanakah projek amal boleh berjalan dengan sendirinya? Dengan usaha dan ikhtiar golongan ketiga- iaitu saudara sebagai aktivis yang secara proaktif, memikirkan mengenai projek-projek amal ini.

Antara formula langkahnya adalah:
1) lihat sekeliling dan cari ruang membuat amal. Lihat sesiapa yang memerlukan bantuan dan lihat apa yang boleh dibantu. Jika anda telah lama menjalankan aktiviti ini, tidak lama lagi, anda tidak perlu lagi melihat sekeliling, kerana pihak yang memerlukan bantuan sendiri akan datang mencari anda atau dirujuk oleh orang lain kepada anda. Anda harus bijak untuk bantuan yang bagaimana yang boleh dijadikan projek, dan bantuan mana yang elok ditinggalkan sahaja buat sementara waktu. Anda juga harus bijak menangani permohonan banutan kerana anda tidak mahu sehingga anda dieksploitkan oleh pihak yang mengambil kesempatan. namun dalam menolak permintaan, anda harus bijaksana kerana kita tidak sekali-kali patut melukakan hati orang di dalam proeek amal ini.

2) langkah dua adalah anda melihat projek dalam bentuk yang orang lain boleh juga tutur menyumbang mengikut kapasiti mereka. Di sini anda harus bijak psikologi, membaca sumbangan yang bagaimana yang mudah orang beri, dan sumbangan yang bagaimana yang susah diberi. Selalunya orang yang bekerja tidak kisah menyumbang wang, tetapi sangat berkira dengan masa dan tenaga, sementara golongan sederhana pula tidak kisah menyumbangkan masa dan tenaga, tetapi mereka mungkin perlu diberi sedikit pampasan kewangan kalau tidak pun upah sepenuhnya. Kebijaksanaan anda mengurus sumber yang ada akan mneumbang kepada kejayaan projek

3) langkah tiga adalah ikhtiar dan tanggungjawab. Anda sebagai peneraju projek harus bertanggungjawab memberi komitmen masa, tenaga dan juga wang sendiri untuk menjayakan projek. Cuma, jika anda bijak, sumber dari orang lain boleh disalurkan dengan optimum supaya sumber anda sendiri boleh digunakan untuk memikirkan projek lain. Seandainya tiada lagi penyertaan dari masyarakat sekeliling, jangan risau, teruskan saja projek dengan diri sendiri, ahli keluarga, dan sahabat-sahabat yang rapat, dan mulakan dengan satu projek dahulu. Seperti yang dinasihatkan oleh Rasulullah SAW mengenai amal yang disukai Allah, biar sedikit tapi berterusan.

beberapa peringatan:

Jangan paksa orang lain melibatkan diri. Projek amal adalah pekerjaan sunat. Anda sendiri juga memilih untuk melakukan aktiviti tersebut. hanya kerana anda memilih aktiviti tersebut, jangan jangkakan orang lain juga mesti sedemikian. Berbaik sangkalah kepada rakan yang tidak mahu melibatkan diri. Mungkin mereka mempunyai perjuangan yang lebih tinggi keutamaan dari projek amal anda.

jangan buat projek yang tidak berkesudahan. Orang mudah jemu dengan apa saja yang tiada penghujungnya. Pekerjaan sara diri dan ibadat khusus wajib dilakukan berterusan, tetapi projek seperti amal adalah sunat sahaja. Oleh yang demikian, rancangkan projek supaya ianya kecil dan mampu dijayakan, dan mempunyai tarikh akhir. Dengan yang demikian, ahli-ahli yang terlibat boleh merasakan perasaan jaya menyelesaikan projek dan akan lebih terbuka dengan projek-projek kecil yang lain di masa hadapan. Jika anda membuat projek besar yang berterusan, penyumbang akan jemu dan akan meninggalkan anda satu demi satu. projek amal yang besar dan berterusan mesti melibatkan pekerja yang dibayar secara profesyenal dan bukan pampasan sedikit wang.

Sedikit tapi Berterusan

12 Oct

Falsafah pertama yang perlu difahami dan dipegang  dalam menjalankan langkah-langkah meningkatkan amalan diri adalah sedikit tapi berterusan. (saya perlu insert hadith tersebut).

Anda tidaklah perlu menjalan hanya satu perubahan pada satu masa, tetapi saya mencadangkan supaya anda meningkatkan tidak lebih dari  tiga sahaja amalan baru sehingganya ianya terbentuk menjadi tabiat anda. Dari segi darjah peningkatan pula, anda perlu tingkaatkan hanya satu darjah atau satu peringkat sahaja mengatasi kadar amalan sedia ada. Seperti usaha kita untuk naik ke tingkat dua, melangkah satu anak tangga demi atu anak tangga adalah lebih mudah dicapai berbandingkan jika anda cuba melompat terus ke tingkat dua.

Tidak salah jika anda ingin menyenaraikan semua amalan yang anda ingin tingkatkan. Cuma, dari segi amalan atau praktikal, anda harus menyenaraikan juga keutamaan, iaitu yang mana satu yang anda akan dahulukan dalam pembentukan diri, dan yang mana terkemudian.

Contohnya,  anda mungkin memlih puasa sunat isnin khamis, solat sunat,  serta bersedekah.  Anda mungkin akan memilih sama ada ingin membentuk dahulu solat dhuha, solat qabliah baadiah, atau solat tahajjud. Dalam puasa juga, anda mungkin perlu memilih untuk membentuk puasa isnin-khamis, atau puasa di tarih kalendar Islam 13,14,15.

nanti insyallah, kita akan bincangkan kriteria yang boleh digunakan dalam  memilih keutamaan

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuuk melakukan amal soleh dan semoga Allah menerimanya dan redha atas kita.