Archive | Ide Untuk Pahala Bonus RSS feed for this section

Sediakan Selipar Tandas di Boot Kereta Anda

26 Oct

Perasan tak terdapat semakin banyak masjid yang tidak lagi menyediakan selipar tandas? Mungkin pihak masjid menganggap tandas mereka cukup bersih, atau mungkin pihak masjid sudah kecewa dan tak sanggup lagi menangani kes kecurian selipar tandas ini.

Apa pun, penggunaan selipar atau alas kaki ke tandas adalah termasuk ikhtiar menjaga kebersihan diri – iaitu sesuatu yang dianjurkan oleh Rasulullah secara umum. Selain dari itu, ia juga termasuk dalam anjuran khusus dari Rasulullah (antara anjuran yang lain adalah: baca doa khas keluar dan masuk, menutup kepala dan memakai alas kaki, duduk bertinggung, tidak menghadap atau membelakang qiblat secara tepat. Sila rujuk blog satizah – iaitu ustadz dan ustazah- untuk mendapatkan dalil dalil ini secara terperinci)

Jadi, anda ke tandas masjid dan tiada selipar disediakan dalam tandas tersebut. …..

Saranan saya: Sediakan selipar tandas simpanan di dalam kereta anda. Apabila anda menghadapi situasi sedemikian, keluarkan selipar tersebut untuk digunakan dan anda boleh tinggalkan terus selipar tersebut untuk kegunaan pengunjung lain.

Saranan tambahan. Cuba kekedai dan meninjau selipar murah. Bila anda jumpa yang murah, beli sepuluh atau lebih. Contonhya, saya pernah jumpa selipar dengan harga Rm1.70 – Beli sepuluh baru tujuh belas ringgit. Kalau sangat minat beli saja seratus baru seratus tujuh puluh 🙂
dah boleh bersedekah ke seratus masjid.

Saranan tambahan tambahan: Jika anda rajin, anda boleh tolong buatkan seperti yang biasa dibuatkan oleh masjid, memotong sedikit selipar. Secara adatnya, selipar ‘potong telinga’ ni difahami bahawa selipar waqaf masjid, dan tidak akan ditersalahbawabalikkan oleh sesiapa.( atau kurang sikit peluang ter nya)

Dan seperti biasa, jika anda nak bawa lagi amalan ini menjadi lebih jauh perbatuan, sebarkan ide ini kepada rakan-rakan. Anda juga boleh beri hadiah sepuluh selipar murah kepada rakan untuk dimuatkan ke boot keretanya. Jika anda ingin berbuat sedemikian, pastikan penerima hadiah ini sama wavelength dengan anda- wahdatul fikr– sepemikiran. Jika tidak, mungkin ini menjadi beban pula kepada dia dan menjadi amalan pahala bonus.

Ide untuk Mencari Pahala Bonus: Pengenalan

26 Oct

Kita sentiasa berfikir bagaimana untuk mencari pahala bonus. Jika kita tidak sedemikian, kita kena menjadi sedemikian!

Mungkin kita mendapat sumber pahala utama dari:
amalan ibadat khusus seperti solat,
amalan ibadat sunat seperti zikir dan membaca quran
amalan ibadat harian mengikuti sunnah rasulullah seperti bersugi, berpakaian, dll
amalan khidmat masyarakat seperti bersedekah, dll.

Pahala ini juga boleh ditetapkan supaya ia sentiasa mengalir. Ini dinamakan pahala jariah. Ia seperti di atas, tetapi ditambah dengan faktor mengalir iaitu:

mengajar seseorang melakukan perkara di atas. Selagi dia melakukannya, atau mengajar orang lain melakukannya, kita akan dapat pahala bonus atau pahala komisyen.

Memberi kemudahan kepada orang lain membuat amal, seperti menyediakan telekung, selipar solat, maka kita akan mendapat pahala asas bersedekah dicampurkan lagi dengan pahala bonus apabila individu beramal dengan menggunakan kemudahan yang kita sediakan.

Menyumbangkan wang atau harta yang terus boleh dimanafaatkan kepada orang lain seperti waqaf bangunan, jalan, tanah, harta amanah (harta yang digunakan manafaatnya tanpa habis harta tersebut)

Selain dari mendapat pahala asas, kita juga boleh mendapat pahala bonus yang kecil-kecil. Saya namakan ini pahala menyambil. Iaitu, kita melakukan amalan baik tak kira bagaimana kecil kepada siapa saja. Yang menjadikan faktor adalah pahala ini dapat dilakukan secara menyambil tanpa mengeluarkan modal yang banyak atau memerlukan pengorbanan yang banyak. Mungkin ada orang mengatakan, kalau tanpa mujahadah, nanti pahalanya sikit.

Jangan salah faham. Memang kita perlu menjalankan amalan yang memerlukan pengorbanan untuk mendapatkan ganjaran yang banyak.
(insert hadith kamu tidak akan … selagi kamu tidak menyedekahkan apa yang kamu sayangi…)
Namun ini tidak bermakna Allah tidak melihat amalan-amalan yang kecil. Allah menjanjikan bahawa setiap amalan akan dibalas – meskipun ia sebesar satu zarah (surah Zilzalah) dan apa yang Allah balas nanti tidak akan menjadi kecil apabila kita di akhirat nanti.

Apa pun, yang penting mengenai projek pahala menyambil ini adalah kerana ia tidak memerlukan pengorbanan yang tinggi, ia mudah dipupuk bagi kita yang baru mula memikirkan hidup beramal ini. Disiplin memupuk diri menjalankan amal yang baik akan mendekatkan diri kepada Allah.

Selain daripada itu juga, amalan kecil ini tidak terlalu terdedah kepada cabaran ujub diri. Sedangkan apabila kita beramal yang besar-besar, kita juga harus menangani cabaran menjaga hati dari ujub, riak dan sum’ah. (tapi kalau kita ni ujub juga dengan amalan amalan kecil kita – itu kes teruk tu, dan kita harus berkursus intensif dalam amalan tasawuf membersihkan diri dari sifat mazmumah 🙂

Dalam siri pahala bonus ini saya mengharapkan juga cadangan dan ide kreatif dari rakan-rakan bagaimana lagi kita boleh mendapatkan pahala bonus. Jika ada rakan yang berminat untuk contribute artikel penuh juga dialu-alukan.