Archive | Berkongsi Pengalaman Dalam Perjalanan Menuju Ilahi RSS feed for this section

Solat Gerhana Matahari

15 Jan

Pusat Islam institusi tempat kerja saya, UUM, mengedarkan panduan menjalankan solat gerhana matahari serta menjemput orang ramai bersama menjalankan solat tersebut.  Disamping itu, saya juga mendapat e mel yang diperpanjangkan, sisipan panduan solat gerhana dari Jabatan Agama negeri Perak. Semoga Allah memberi rahmat dan ganjaran kepada pihak-pihak yang rajin menyebarkan budaya Islam kepada orang ramai.

Saya begitu terujamengenai solat gerhana kali ini  kerana sepanjang umur saya yang dah dah 46 tahun ini, inilah baru pertama kali saya sedar dan dapat peluang untuk menyedari dan menjalankan solat gerhana matahari tepat pada waktunya dengan yakin mengenai kaifiatnya. Nampak sangat ceteknya ilmu dan pengalaman keagamaan diri.

Saya hanya pernah mengikuti solat gerhana bulan sekali semasa  Allah memberi peluang tersebut menjadikan kebetulan peristiwa gerhana bulan semasa salah satu dari sesi pengajian Ustadz Nuruddin ( AL Banjari AL Makki). Seronok sekali saya mengikuti solat gerhana untuk pertama kalinya.

Pengalaman saya mengenai gerhana bulan semasa remaja kurang manis, iaitu semasa gerhana bulan, saya dan rakan-rakan yang kurang ilmu agama terfikir untuk meraikan peristiwa tersebut dengan mengetuk-ngetuk  tong kosong beramai-ramai. Entah dari mana ide tersebut timbul, cuma yang kami teringat adalah kegembiraan menyambut peristiwa yang istimewa tersebut dan kegembiraan melakukan sesuatu beramai-ramai.

Rupanya peristiwa istimewa tersebut sebenarnya tidak dibiarkan Allah untuk kita menyambut sesuka hati kita sahaja. Dalam Islam rupanya, Allah telah menyediakan cara yang lebih bermanafaat untuk dunia dan akhirat bagi menyambut peristiwa tersebut. Semoga Allah mengampuni saya dan rakan atas kebodohan kami semasa remaja, dan sudi memberi hidayah kepada kami semua.

Alangkah bahagia saya apabila melihat anak-anak pra remaja saya begitu teruja dengan jemputan masjid berdekatan untuk mengikuti solat berjemaah beramai-ramai. Begitu berbeza sekali dari kami dahulu. Siap hantar sms dari masjid- “umi, orang perempuan pun boleh join”. Walau bagaimanapun, saya, suami dan adiknya solat dengan jemaah kecil sahaja di rumah.

Bahagia lagi apabila suami melaporkan hebahan khas dari pondok jiran; “ha.. tok- tok yang nak sembahyang  gerhana matahari mai lekas kat surau.”” * Terasa seperti menyambut hari raya pula. Semoga kita boleh melalaui lagi lebih banyak peristiwa yang memberi peluang kita beramai-ramai mengingati dan memuji Allah.

* catatan: Pondok yang berjiran dengan rumah saya mempunyai penghuni pelajar lelaki remaja dan wanita lanjut usia. jadi sebahagian dari hebahan mereka akan ditujukan kepada tok-tok, seperti contoh; “pelajar- pelajar dan tok-tok, sila datang mengaji sekarang.”Saya sungguh bahagia setiap kali mendengar hebahan-hebahan.””