Saya dahulu mempunyai satu penyakit hati; iaitu bila seseorang meminjam wang dari saya dan mereka tidak bayar, saya akan rasa mereka menipu, dan saya pula seorang bodoh yang membiarkan diri ditipu. Maka, saya memegang polisi peribadi- tidak memberi pinjaman kepada sesiapa, dan saya merasakan diri saya ‘bijak’ mengatur langkah. Jika ada wang, sedekah dengan ikhlas- tetapi tidak memberi pinjaman.
Ini berjalan sehinggalah saya mengenali suami dan prinsip meminjam beliau. Menurut beliau, semasa diminta pinjaman, beliau akan fikir dahulu; “Adakah saya mampu memberi sedekah dengan jumlah ini?” Jika mampu, beliau akan meminjamkan jumlah wang tersebut, dan meniatkannya sebagai sedekah. Jika rezeki wang tersebut kembali, alhamdulillah. Jika tidak- sememangnya tidak perlu lagi memikirkannya.
Saya menanyakan beliau; bagaimana kalau sahabat itu mengambil kesempatan dan meminjam dan meminjam tanpa membayar?
Jawab beliau- letakkanlah – setiap orang mempunyai satu kredit berhutang yang boleh ditukarkan kepada sedekah.
Alhamdulillah, saya meminjam polisi beliau dan ternyata ia mampu diamalkan tanpa sakit jiwa merasakan diri ‘tipah tertipu’.(bodoh meletakkan diri dalam keadaan mudah ditipu orang)
Leave a Reply