Duit Raya: Bagaimana mengelakkan ia menjadi pembaziran dan menjadikannya satu ibadat.

20 Oct

SALAM INI SATU ARTIKEL LAMA YANG SAYA PERNAH TULIS

Amalan pemberian dan penerimaan duit raya boleh menjadi pembaziran, tetapi ianya boleh kita ubahsuaikan supaya menjadi amalan sedekah dan hadiah yang diterima oleh Allah dan membawa keberkatan.

Ketidaksesuaian sedia ada di dalam amalan kebiasaan sekarang:

1) Terdapat pihak yang mungkin menghadapi tekanan masyarakat untuk mengeluarkan wang raya, takut dikatakan kedekut. Adakah seseorang akan mendapat pahala bila mengeluarkan belanja hanya kerana tekanan luar?

2) Terdapat golongan kanak-kanak (walau pun tidak ramai) yang telah dibudayakan untuk berjalan dari rumah ke rumah mengutip duit raya. Aktiviti ini tidak dikawal oleh ibubapa mereka sehingga terdapat kanak-kanak yang berani mengeluarkan kata-kata seperti “tuan rumah kedekut”; “ eleh duit syiling”. Ini bukan hanya menimbulkan budaya tidak sopan, malah menimbulkan perasaan tidak senang hati di pihak pemberi duit raya.

3) Selepas hari raya, kedai kedai bukan Islam akan menyediakan pameran mainan yang menggalakkan pembaziran. Ibu bapa selalunya malu untuk memantau duit raya kanak-kanak kerana takut dikatakan penganaiyaan kepada kanak-kanak. Akibatnya, terdapat sejumlah wang umat Islam yang terbazir melalui amalan ini di mana kita boleh melihat, orang dewasa agak ‘miskin’ selepas raya sementara kanak-kanak menjadi orang kaya baru. Sila lihat pameran jualan di gedung bukan Islam. Mereka tahu kuasa membeli telah berpindah dari dewasa kepada kanak-kanak pada bulan selepas hari raya.

Bagaimana boleh kita baiki amalan sedia ada:

Di pihak Ibubapa:

1) Didik anak-anda sebelum hari raya lagi bahawa duit raya adalah duit sedekah. Ia adalah amanah dari Allah. Anak anda sebagai orang Islam diperhatikan Allah mengenai bagaimana ia membelanjakan wang tersebut. Galakkan anak anda membuat perjanjian dengan diri sendiri ( bukan nazar) berapa peratus akan disedekahkan kembali kepada masjid atau tempat amal. (bagi anak yang terlalu berminat dengan duit, beritahu anak anda, dia tidak pasti berapa rezekinya, mungkin dengan meniatkan sebahagian kepada sedekah, ia akan mendapat rezeki yang lebih banyak)

2) Beritahu anak anda, bahawa anda sebagai ibubapa akan memantau perbelanjaan wang tersebut. Anda boleh tetapkan jumlah yang sedikit untuk mainan, dan yang selebihnya untuk kegunaan peribadi mereka akan datang seperti pakaian dan lain lain pilihan mereka. Anda boleh buka akaun anak dengan anda – (namanya bank umi atau bank ibu) sediakan buku akaun. Anak anda boleh mengeluarkan wang tersebut untuk membeli barang-barang munasabah di masa akan datang. Ini lebih mudah dari simpanan di tabung haji dll. Namun bagi jumlah wang yang banyak, galakkan anak menyimpan di tabung haji atau bank yang mengikut syariat.

3) Galakkan anak anda biasa memberi duit raya kepada orang. Dia boleh memberi duit raya kepada, adik adik yang lebih kecil. Ini tidak perlu dalam jumlah yang banyak; cukup setakt RM 1 dan kepada dua atau tiga orang sahaja. Didik anak anak untuk mengalamai perasaan seronok memberi dari sekecil yang mungkin.

4) Selepas raya.
Adakan tempoh “cooling period” anak anda. Secara psikologi, individu yang baru mendapat jumlah wang yang banyak secara mendadak akan teruja untuk membeli pelbagai barangan tanpa pertimbangan wajar. Fenomena ini telah lama diekspoitasi oleh penjual. Contohnya di kawasan petani Kedah, kita boleh melihat fenomena “gatal tangan” yang berlaku apabila petani mendapat duit padi. Maka penjual sering mengadakan pesta jualan yang sama waktu dengan datangnya duit padi. Bagi anak yang ingin membeli, biarkan mereka meninjau dahulu beberapa kedai dan balik berbincang dengan ibubapa dahulu. Barangan boleh dibeli sebulan kemudian jika masih difikirkan diperlukan. Ini bukan hanya menanam tabiat berbelanja dengan berhemah, malah menanamkan sikap “delay of gratification” (penundaan keseronokan segera) Ia termasuk dalam komponen sabar dan tenang yang amat digalakkan dalam Islam.

Dari pihak penderma:

1) Ubah niat dari kata –kata “duit raya” kepada sedekah sempena aidil fitri. Ini akan mengingatkan kita bahawa semua amalan adalah kerana Allah dan tidak kerana faktor lain.

1) Jika difikirkan memberi kepada kanak-kanak yang datang akan meningkatkan kasih sayang, ia dikategorikan sebagi hadiah. Ini juga amalan yang digalakkan oleh rasulullah SAW. melalui hadith yang bermafhum; ”Saling menghadiahkan antara kamu, akan timbul kasih sayang antara kamu”.

2) Jika difikirkan kanak-kanak yang hadir termasuk dalam budaya meminta-minta dan budaya samseng; tidak perlu berikan apa-apa. Anggaplah penerimaan kata-kata tak sopan dari kanak-kanak tersebut; “kedekut” sebagai jihad atau kaffarah.

3) Semasa perancangan wang raya, pastikan nisbah sedekah kepada orang dewasa melebihi hadiah suka-suka untuk kanak-kanak. RM 100 sudah memadai untuk seratus kanak-kanak jika niat adalah untuk menggembirakan mereka atau meningkatkan kasih sayang, sedangkan anda mungkin boleh mengalokasikan RM 500 atau RM 1000 untuk beberapa orang dewasa yang memerlukan.

Jika tak boleh ramai, sedekah kepada seorang pun juga bermakna. Cari penerima yang paling layak, iaitu mereka yang ada hubungan dengan anda ( saudara, jiran, bekas  ustazah dll), mereka yang dekat dengan Allah, dan mereka yang memerlukan sedikit bantuan kewangan.  Jika anda mula dengan amalan sedemikian, insyallah, anda akan menyedari bahawa kewangan anda sedikit demi sedikit akan bertambah lapang sehingga anda boleh melakukannya dengan lebih berganda lagi pada tahun berikutnya.

Jumlah yang lebih tinggi boleh diberikan kepada:

Remaja di sekolah menengah dari golongan saudara kita yang susah, yang anda pasti akan membelanjakan dengan berhemah. (Yang tak pasti tak payah beri)

Orang tua di kampung yang mempunyai hubungan dengan kita. Jumlah RM 10 – RM 50 kepada jiran, di kampung, orang tua di pondok dan lain-lain.

Antara golongan yang sering dilupakan adalah guru agama dari sekolah persendirian. Mereka bergaji kecil dan berkorban mendidik anak-anak kita. Sepatutnya kita menghimpun wang dan menggunakan masa ini untuk memberikan sampul raya sebagai tanda penghargaan. Ibubapa selalu malu untuk memberikan RM10 kerana nampak terlalu sedikit, tetapi berat untuk memberikan RM 50. Namun jika telah menjadi budaya kita memberikan sampul raya kepda guru agama, jumlah yang terkumpul pasti akan membantu. Cuma yang perlu diingatkan disini, cara pemberian dari ibubapa kepada guru mestilah betul dan bersopan kerana pemberian yang sedikit diiringi dengan penghormatan adalah jauh lebih berharga dari sedekah yang disampaikan dengan cara yang tidak menghormati. Penyerahan sampul raya kepada guru mestilah disampaikan dalam suasana “hadiah penghormatan” dan bukan “sedekah kasihan.”

Semoga saudara boleh memanafaatkanlah ide ini untuk mendekatkan saudara kepada Allah, yang selainnya boleh dilupakan sahaja. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan memasukkan kita di dalam golongan yang mendapatkan Rahmatnya, semoga Allah memelihara diri kita sepenuhnya supaya mampu beramal dengan baik. Semoga Allah sudi mengampunkan segala ketelanjuran kita dan sudi memasukkan kita ke dalam syurga tanlpa hisab. Amiin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: